Naskhah Kesusasteraan Lama Melayu: Sorotan Sejarah Di Nusantara

16

Agama Islam dikatakan mula bertapak di alam Melayu pada kurun ke 13 Masihi. Antara wilayah yang terawal memeluk Islam adalah Perlak, Pasai dan Samudera iaitu wilayah-wilayah yang sekarang ini menjadi negeri Aceh, di Sumatera Utara. Islam bertambah kuat pemerintahannya  di nusantara ini apabila kerajaan Majapahit yang terkenal itu dikalahkan oleh Radin Patah bersama-sama dengan Sembilan orang Ulama Islam yang termahsyur dengan gelaran Wali Sanga yakni Wali yang Sembilan. Adapun perkembangan Islam ke alam Melayu ini telah berlaku pada kurun ke 15 Masihi dan dikatakan saling beriring-iringan dengan kuasa-kuasa besar barat. Pada awal perkembangannya, kaedah atau metod yang digunakan oleh ulama dan pendakwah Islam adalah menggunakan jalan dakwah yakni pertuturan atau komunikasi dalam menyampaikan ajaran dan fahaman Islam.

Sumber kitab-kitab risalah dakwah yang digunakan pada mulanya adalah berhuruf Jawi yang berasaskan huruf  ‘Arab dan hanya dapat dilengkapkan sesudah disertakan huruf-huruf tambahan menurut kaedah huruf Parsi iaitu huruf changa , ga dan nya. Kemudian daripada itu barulah dapat disusun kaedah-keadah ejaan jawi dan bermulalah usaha-usaha menterjemahkan kitab-kitab risalah seperti huraian kaedah, rukun dan aturan Islam, Iman dan Ihsan yang wajib diketahui oleh seorang Muslim. Seterusnya timbullah apa yang dinamakan kesusasteraan Islam di sisi orang Melayu yang sebelum kedatangan Islam itu telah terkenal dengan kesusasteraan Hindu seperti cerita Pandawa Lima dan cerita Seri Rama yang berperang dengan Maharaja Ravana dalam Kitab Mahabharata. Maka bermulalah era kesusasteraan Melayu Islam yang berkembang mekar menggantikan kesusasteraan Hindu itu.

Sederhananya usaha menterjemahkan kitab-kitab atau risalah-risalah Islam pada zaman itu di lihat belum memadai dalam memperkenalkan kesempurnaan dan kebesaran Islam kepada orang-orang yang baru hendak mengenal atau cuba hendak meyakini ajaran-ajarannya. Salah satu jalan yang dirasakan berkesan dalam melaksanakan tugas suci ini ialah menerusi kesusasteraan. Ini dapat dipastikan bahawa ramai pengembang-pengembang Islam telah banyak menggunakan lapangan kesusasteraan bagi memperkenalkan riwayat-riwayat seperti kisah para Rasul dan Nabi, tentang pahlawan-pahlawan dan mujahid Islam dalam menegakkan syiar Islam dan sebagainya. Barangpasti cerita atau riwayat seumpama ini dilihat mampu menarik perhatian dan cepat tersebar kepada orang-orang yang baru mula hendak mengenal dan memahami ajaran Islam itu. Antara hasil naskhah kesusasteraan lama Melayu yang berintikan Islam itu adalah Hikayat Nabi Muhammad, Hikayat  Nabi Muhamad Mengajar anaknya Fatimah, Hikayat Nabi Yusof dan hikayat beberapa orang nabi-nabi lagi yang kemudiannya dihimpunkan dalam satu kitab yang dinamakan Kessasul Anbia’ atau kisah para nabi.

Kisah perjuangan pada zaman Islam  mula berkembang dan kisah kegagahan pahlawan Islam dalam peperangan pada zaman itu adalah antara kisah-kisah yang amat digemari  oleh orang-orang Melayu. Antara hikayat-hikayat  pahlawan Islam yang awal sekali diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu adalah Hikayat Amir Hamzah, Hikayat Muhammad Ali Hanafiah, Hikayat Raja Handak yang meriwayatkan tentang kegagahan Sayyidina Ali dan Hikayat Raja Badar. Ini dibukti dan disahkan dalam buku Sejarah Melayu tentang dua buah hikayat iaitu Hikayat Amir Hamzah dan Hikayat Muhammad Ali Hanafiah (kedua-duanya diterjemahkan dari bahasa Parsi) yang sering dibaca dan dijadikan rujukan oleh orang-orang Melayu terdahulu sebelum kejatuhan Melaka ke tangan Feringgi (Portugis) pada tahun 1511 Masihi. Dalam buku Sejarah Melayu tersebut ada menghuraikan kesahihan ini yang mendokumenkan kisah pada malam sesudah Feringgi melancarkan serangannya yang pertama ke atas Melaka seperti frasa di bawah :

Maka Sultan Ahmad pun menghimpunkan orang, dan suroh berhadhir senjata. Maka hari pun malam-lah; maka segala hulubalang dan segala anak tuan-tuan semuanya bertunggu dibalai-rong. Maka kata segala anak tuan-tuan itu, “ Apa kita buat bertunggu dibalai-rong diam-diam sahaja? Baik kita membacha hikayat perang, supaya kita beroleh faedah daripadanya.” Maka kata Tun Muhammad Onta, “Benar kata tuan-tuan itu, baik-lah Tun Indera Sagara pergi memohon Hikayat Muhammad Hanafiah, sembahkan mudah-mudahan dapat patek-patek itu mengambil faedah daripada-nya. Kerana Feringgi akan melanggar esok hari.” Maka Tun Indera Sagara pun masok menghadap Sultan Ahmad. Maka segala sembah orang itu semuanya di-persembahkan-nya ka-bawah duli Sultan Ahmad. Maka Sultan Ahmad di-anugerahi Hikayat Amir Hamzah; maka titah Sultan Ahmad pada Tun Indera Sagara, “Katakan kapada segala anak tuan-tuan itu, hendak pun kita anugerah-kan Hikayat Muhammad Hanafiah, takut tiada akan ada berani segala tuan-tuan itu saperti Muhammad Hanafiah; hanya jikalau pun dapat seperti Amir Hamzah pun pada-lah; maka kita beri Hikayat Hamzah.”

15

Daripada permulaan kata buku Sejarah Melayu (naskhah Shellabear) itu dapat dipastikan kesusasteraan lama Melayu itu adalah kebanyakkan bercorak atau mencontohi aliran bentuk  Mathanawi (Mesnewi) yakni sejenis syair Parsi yang lazimnya dimulai dengan mukaddimah atau permulaan kata memuji Allah dan Rasulnya. Petikan ayat di atas turut menjelaskan juga bahawa hasil kesusasteraan lama Melayu merupakan satu instrumen dan bukti yang kesusasteraan itu bukanlah hanya menjadi bahan bacaan dan rujukan umat pada ketika itu malah digunakan ia sebagai pelajaran dan penaik semangat dalam menghadapi perang. Menariknya lagi tentang kesusasteraan lama Melayu ini ialah pengarangnya dapat menerangkan sesuatu peristiwa itu secara terperinci iaitu dengan menyebut satu-persatu tarikh, tahun, hari bahkan hingga saat ketika terjadinya ia seperti contoh berikut:

Tatkala hijratu ‘l-nabiyyi sallu ‘LLahu ‘alaihi wa’s-salamu sa-ribu dua puloh satu tahun, kepada tahun Dal, pada tahun Dal, pada dua belas hari-bulan Rabi’il-Awwal, kapada hari Khamis, waktu al-dhoha, pada ketika Shamsu, pada zaman kerajaan marhum mangkat di-Acheh, Sultan ‘Alau’d-din Ri’ayat Shah zillu ‘LLahi fi’l-‘alam anak Sultani ‘I-ajalli ‘Abdi’l-Jalil Shah, diriwayatkan…

Perkembangan kesusasteraan lama Melayu yang berpengaruh Islam di nusantara sama ada bercorak Parsi atau pun Arab pada asasnya dapat dibahagikan kepada tiga zaman iaitu :

  1. Zaman Kerajaan Pasai  (1280 hingga 1400 Masihi)
  2. Zaman Kerajaan Melaka ( 1400 hingga 1511 Masihi)
  3. Zaman Kerajaan Acheh dan Johor ( 1511 hingga 1650 Masihi)

Kesusasteraan lama Melayu telah mula berkembang di negeri Pasai iaitu negeri yang paling awal menerima Islam di alam nusantara. Kebanyakkan hasil kesusasteraan tersebut adalah bersifat keagamaan dan bahagian terbesar daripada nakhahnya adalah berbahasa Parsi. Apabila negeri Melaka berdiri dan bertambah kuat kerajaannya maka di situlah menjadi tempat tumpuan pengembang-pengembang agama dan ulama-ulama Islam. Walaupun usaha-usaha dijalankan bagi kemajuan dan perkembangan sastera paza zaman Kerajaan Melayu Melaka itu, tetapi dicatatkan zaman kegemilangan kesusasteraan lama Melayu di Nusantara ini adalah pada pertengahan pertama pada kurun ke 17 Masihi. Kejatuhan Kerajaan Melayu Melaka pada 1511 Masihi telah menjadikan Kerajaan Acheh berdiri dalam puncak pemerintahannya. Beberapa buah buku-buku kesusasteraan Melayu yang tinggi kualitinya tercipta pada zaman tersebut di antaranya adalah Sulalatun’l-Salatin yang disusun pada 1612 Masihi, Taj ul-Salatin pada tahun 1603 Masihi dan Bustan ul-Salatin pada tahun 1638 Masihi.

Hakikatnya banyak hasil-hasil naskhah kesusasteraan lama Melayu yang telah hilang dan musnah sepanjang peredaran zaman yang telah mengharungi pelbagai peristiwa sejarah oleh bangsanya. Dikatakan antara peristiwa yang menyebabkan banyak naskhah-naskhah kesusasteraan lama Melayu itu hilang dan musnah adalah sewaktu Kerajaan Melayu Melaka berperang dengan kuasa Portugis. Istana raja yang menjadi tempat penyimpanan buku-buku dan kitab-kitab telah binasa di makan api akibat dibakar oleh pihak musuh yang datang menyerang. Selain itu, peristiwa yang lebih besar yang menyebabkan kehilangan hasil-hasil kesusasteraan lama Melayu itu adalah terbakarnya kapal yang bernama the Fame pada 2 Februari 1824 yakni kapal pelayaran Britain yang membawa muatan barang, dokumen (perpustakaan lama Melayu) dan khazanah yang dicuri dan dirampas untuk di bawa pulang ke negara asal mereka.

Sumber: Zaaba Farisi; 4 Januari 2013.

http://www.log.prima.org.my/2013/01/naskhah-kesusasteraan-lama-melayu-sorotan-sejarah-di-nusantara/

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: