ILMU PERANG DALAM MASYARAKAT MELAYU: Bahagian 5

Kali ini kita akan melihat kepada formasi ketenteraan, logistik dan tipu muslihat dalam ilmu perang Melayu. Ketiga-tiga unsur ini juga adalah penting dalam melengkapkan dan menyediakan tentera dalam menghadapi sebarang peperangan. Selain itu kita juga akan melihat tokoh-tokoh yang paling menonjol dalam Historiografi tradisional Melayu sebagai strategis ulung ilmu perang Melayu. Kita akan menelusuri pengalaman mereka dalam menghadapi serangan dari penjajah laknatullah yang cuba mencabul bumi terhormat ini. Selain itu kita juga akan melihat tipu muslihat dalam peperangan saudara diantara orang Melayu dengan orang Melayu juga seperti perang di Selangor.

Dalam membicarakan soal peperangan, maka tidak boleh tidak, kita perlu menyentuh mengenai strategi perang yang digunakan dalam sesuatu peperangan itu. Selain daripada penggunaan kubu, Kota dan parit, masyarakat Alam Melayu juga mempunyai siasat perang atau lebih mudah dikatakan strategi perang yang melibatkan formasi tertentu ketika membentuk ketumbukan tentera. Strategi jenis ini termasuk dalam strategi jenis ofensif yakni yang diperlukan apabila kedua-dua ketumbukan tentera yang berlawanan perlu berhadapan atau secara frontal dengan masing-masing berada di sebuah medan peperangan.

Strategi ini sebenarnya cuba untuk membentuk suatu posisi yang menguntungkan agar dapat mengumpan dan memaksa musuh berada dalam keadaan atau posisi yang merugikan dan terbatas pergerakannya. Strategi sebegini juga sangat banyak diamalkan oleh tentera Rom pada zaman keemasannya menakluk sebahagian besar Eropah. Formasi yang diamalkan oleh tentera Rom sejak zaman berzaman telah dikaji secara mendalam oleh peneliti ketenteraan dari seluruh dunia dan dipraktikkan dalam strategi ketenteraan moden terutamanya di negara-negara seperti Amerika Syarikat dan Britain. Sebenarnya strategi seperti ini juga banyak dipraktikkan di kalangan kerajaan-kerajaan di tanah Jawa sejak dari zaman kerajaan kuno seperti Kediri sehinggalah kerajaan Majapahit dan kerajaan Mataram Islam di zaman kolonial. Malahan catatan mengenainya juga adalah lebih terperinci berbanding dengan catatan mengenai strategi yang sama di kawasan kepulauan Melayu yang lain. Antara karya kesusasteraan Jawa kuno yang membicarakan mengenai strategi membentuk formasi tentera adalah Kakawin Baratha Yuddha.

Karya ini adalah tentang bermacam-macam jenis strategi perang berbentuk formasi ketenteraan yang dilgunakan oleh Pandawa dan Kaurawa dalam peperangan yang berbentuk berhadapan dengan musuh atau serangan frontal. Dalam karya ini, ketika berlakunya peperangan frontal di antara kedua buah keluarga ini, keluarga Kaurawa telah menggunakan formasi ketenteraan berbentuk Wukir Segara atau ombak laut dan bukit. Formasi ini terbentuk daripada tentera yang dibahagikan kepada dua ketumbukan. Tentera ketumbukan pertama ialah di bahagian belakang yang terdiri daripadatentera berkuda dan bergajah dan dinaiki oleh raja-raja, para pembesar dan perajurit atasan, tentera inilah yang dinamakan sebagai bukit. Manakala pasukan kedua pula ialah terdiri daripada barisan demi barisan tentera pejalan kaki yang membentuk seolah-olah lautan dan menyerang dari satu gelombang ke satu gelombang mengikut giliran. Susunan ketenteraan sebegini memerlukan jumlah tenaga manusia yang amat besar dan dinamik yang agak tinggi.

Penggunaan tentera yang banyak ada disebut dalam karya ini iaitu menyatakan bahawa satu kereta perang diperkuatkan dengan sepuluh ekor gajah, setiap seekor gajah pula di perkuatkan atau disokong oleh sepuluh ekor kuda dan setiap seekor kuda pula disokong oleh sepuluh orang perajurit. Keluarga Pandawa pula menggunakan formasi ketenteraan yang berbentuk Wajratikshna yang bermaksud petir yang tajam. Susunan tentera yang berbentuk petir ini mempunyai beberapa bahagian. Bahagian ini terbahagi kepada bahagian depan yang mempunyai tiga cabang iaitu tengah, sayap kiri dan sayap kanan, bahagian tengah formasi pula dibahagikan kepada dua ketumbukan dan bahagian paling belakang dibahagikan kepada tengah, sayap kiri dan juga sayap kanan. Bahagian yang paling kuat ialah di bahagian paling hadapan yang tengah kerana susunan tentera di sini lebih mantap dan padat. Daripada bentuk formasi ketenteraan kedua-dua keluarga ini dapat dikatakan bahawa kedua-duanya mempunyai kekuatan ofensif yang agak tinggi. Oleh kerana faktor inilah dikatakan bahawa keluarga Pandawa telah kalah dalam peperangan tersebut. Ini kerana kekuatan hanya didasarkan pada bahagian tengah sahaja dan menyebabkan panglima mereka mati dan menghuru-harakan barisan ketenteraan.

Satu lagi jenis susunan tentera yang digunakan dalam peperangan ini yang turut disebut dalam karya ini ialah susunan yang berbentuk Chakra atau roda. Susunan seperti ini mempunyai daya defensif yang sangat kukuh dan kuat serta sukar untuk di tembusi. Hal ini kerana barisan pertahanannya berbentuk lingkaran atau bulat dan sukar untuk mencari titik lemahnya. Segenap arah susunan ini di kawali dengan ketumbukan tentera sesuai dengan namanya seperti roda atau lingkaran. Bahagian tengah atau pusat roda adalah tempat di mana diletaknya pasukan raja atau pembesar yang penting, oleh itu mereka terlindung daripada serangan dari segenap arah.

Selain daripada masyarakat di Tanah Jawa, masyarakat Melayu di Semenanjung juga turut mempunyai kesedaran atau ilmu mengenai pelbagai taktik perang berbentuk tipu muslihat. Salah satu daripada strategi ini ialah dengan menggunakan mata-mata dan juga penyamaran. Peristiwa mengenai helah dan tipu muslihat sebegini turut dicatat oleh pegawai-pegawai Inggeris yang berada di Semenanjung Tanah Melayu suatu ketika dahulu. Sewaktu British membantu Siam mengepung perairan Kedah pada 1838, pihak British telah tertipu dengan strategi dan helah pahlawan Melayu Kedah iaitu tengku Muhammad Ali. Beliau dikatakan telah berjaya melarikan diri daripada Kedah dengan menaiki perahu yang dipenuhi dengan wanita dan berpakaian wanita. Walaupun tentera British telah mengepung Kuala Kedah namun perahu tersebut tetap terlepas kerana menganggap perahu tersebut hanya mempunyai wanita sahaja. Menurut Sherard Osborn, iaitu salah seseorang kelasi British yang menjadi saksi peperangan tersebut, orang-orang Melayu Kedah sebelum menghadapi penyerangan Siam secara besar-besaran telah cukup bersedia. Persediaan yang mereka lakukan adalah amat rapi dengan jangka masa yang tepat dan dalam keadaan rahsia. Kenyataan ini menunjukkan bahawa tentera Melayu Kedah amat mahir dalam membuat persiapan peperangan secara rahsia. Ini mungkin disebabkan kerajaan Kedah senantiasa mendapat ancaman daripada Siam dan oleh itu mereka sentiasa berwaspada dan meneliti strategi-strategi peperangan Siam.

Tengku Kudin salah seorang pejuang Kedah juga pernah menjalankan taktik penyamaran. Sewaktu beliau mahu membuat percubaan kali ketiga untuk menawan semula Kota Kuala Kedah daripada pegangan Siam, beliau telah menyamar sebagai seorang sepoi Inggeris dan memakai seragam merah. Hasilnya tentera Kedah berjaya memasuki Kota musuh dan menawan Kota tersebut. Kesultanan Aceh pada zaman kegemilangannya juga pernah menggunakan strategi berbentuk tipu muslihat dan helah bagi mengaburi musuh mereka iaitu Portugis di Melaka. Dikatakan bahawa sultan Aceh ketika itu, Sultan Mansur Shah telah mengumpulkan angkatan yang besar terdiri daripada orang-orang Aceh dan Sumatera serta orang negeri perak untuk menyerak Melaka. Bagi mengaburi pihak Portugis, maka Sultan telah mengumumkan bahawa bala tenteranya kan pergi menyerang Tanah Jawa. Baginda juga telah menghantar hadiah kepada Gabenor Portugis di Melaka untuk mengelakkan syak wasangka mereka. Selain itu, Aceh turut menghantar mata-mata atau spy untuk mengalih mengintip pertahanan laluan selat Melaka ke Pelabuhan Melaka dan juga untuk mengalihkan perhatian pihak berkuasa Portugis. Walaupun usaha mata-mata ini tidak berjaya kerana dia ditangkap dan diseksa sehingga terpaksa membocorkan rahsia, namun strategi dan helah yang digunakan oleh baginda Sultan untuk menyerang Melaka dianggap sebagai suatu yang bijak dan boleh dibanggakan pada masa itu.

Dalam peristiwa perang saudara di Selangor pula dapat dipastikan bahawa pasukan ketenteraan bantuan daripada Pahang sememangnya telah mempunyai strategi formasi ketenteraan yang mantap sebelum berangkat ke Selangor. Mereka telah mengatur langkah dan perbarisan mereka sejak dari Pahang lagi dengan diketuai oleh Datuk Bahaman. Datuk Bahaman telah membagikan pasukan Pahang kepada beberapa ketumbukan. Pasukan yang akan menjaga sempadan negeri daripada dimasuki musuh yang melarikan diri dari Selangor akan diketuai oleh Datuk Orang Kaya Haji Lipis dengan dibantu oleh Mat Kilau bersama ayahnya Datuk Gajah. Manakala urusan pertahanan dari laut pula akan diketuai oleh datuk Shah Bandar Jidin.Manakala barisan utama yang akan bergerak menentang pemberontakan di Selangor adalah terdiri daripada 3 pasukan. Pasukan ini kemudiannya akan dipecahkan untuk membentuk beberapa ketumbukan kecil tentera. Ketua turus angkatan tentera ini adalah Datuk Bahaman sendiri. Apa yang uniknya ialah pasukan-pasukan ini diberikan nama kod tertentu untuk memudahkan pembahagian. Antaranya ialah pasukan semantan yang dikepalai oleh datuk Bahaman, pasukan pulau tawar atau imam perang rasul dan pasukan datuk Shah Bandar atau pasukan Benta.

Dalam tentera pasukan Semantan datuk Bahaman telah membahagikan pula tugas-tugas kepada beberapa pegawai-pegawai perang yang terdiri daripada panglima-panglima atau Imam Perang. Antaranya ialah Imam perang Mat Akil untuk menjadi panglima dengan dibantu oleh Imam perang Gendut, Imam perang Che Indot, Datuk Johan Perkasa Cik Hassan, Imam perang Khatib Bahrain dan Imam perang Besar Masjid. Apa yang uniknya ialah ketua bagi sesebuah ketumbukan tentera di Pahang menggunakan gelaran Imam perang dan ketua kepada semua Imam perang adalah panglima.Setiap Imam perang akan mengetuai ketumbukan tentera yang mempunyai lebih kurang 300 hingga 600 orang askar. Pasukan-pasukan ini pula telah ditugaskan untuk menyerang kawasan-kawasan yang berbeza di negeri Selangor. Strategi membahagi-bahagikan beberapa bahagian tentera ini menunjukkan bahawa Datuk Bahaman adalah salah seorang ahli strategis yang handal dan dapat mengagak untung rugi yang bakal dihadapi mereka dalam perang ini. Oleh itu dengan membahagikan pasukan kepada 3 kumpulan akan mengurangkan risiko kehilangan askar yang ramai dan dapat menyerang musuh daripada segenap arah.

Peperangan di Selangor ini juga memperlihatkan kebijaksanaan Raja Mahadi sebagai pemimpin pasukan perang Selangor. Beliau telah menjalankan strategi tipu muslihat untuk jangka panjang iaitu dengan memerintahkan Panglima Mashor menawan Kuala Lumpur. Dengan tertawannya Kuala Lumpur beliau telah berjanji dengan Sultan Selangor akan memberikan hak pembahagian cukai di sana dan di Kelang kepada Sultan sendiri. Baginda diharapkan akan bertambah yakin dengan kekuatan beliau. Hal ini akan menguatkan kedudukannya dalam pertikaian politik di Selangor dan sekali gus mendapat sokongan Sultan. Seperti juga pasukan Pahang, pasukan panglima Mashor juga telah menyerang Kuala Lumpur dari tiga penjuru iaitu utara, timur dan selatan. Selain itu pasukan penentang dari Tengku Kudin pula telah menggunakan pengakap-pengakap hutan ataupun pengintip dalam taktik peperangan mereka. Pengakap ini digunakan untuk mengintip kekuatan dan kedudukan musuh.

Penyerangan terhadap Kuala Lumpur yang dibuat oleh Tengku Kudin adalah amat sukar kerana di pertahankan dengan sengitnya oleh Panglima Mashor. Ramai pasukan Pahang yang turut terkorban. Hal ini adalah kerana pasukan tentera Panglima Mashor menggunakan taktik serangan hendap terhadap pasukan-pasukan Pahang yang menyerang ke Kuala Lumpur. Mereka turut memasang perangkap di Ampang, Ulu Kelang dan Kepong. Bagi mengelakkan pasukannya banyak kehilangan nyawa, datuk Bahaman telah mengarahkan agar pasukannya berundur untuk seketika. Datuk Bahaman kemudiannya telah membentuk pasukan kecil yang khas terdiri daripada pahlawan-pahlawan handal dalam jumlah yang kecil bagi melakukan serangan mengejut dan menghapuskan perangkap-perangkap yang dibuat oleh Panglima Mashor.

Kebijaksanaan Datuk Bahaman dalam mengatur strategi perang juga makin terserlah apabila beliau berjaya menyerang Kuala Lumpur daripada dalam, melalui penyamaran sebagai seorang sakai atau pelarian perang. Setelah berjaya menyusup masuk maka orang-orang Pahang telah menggempur kubu-kubu pertahanan Kuala Lumpur dari dalam. Akhirnya orang-orang Pahang telah berjaya menawan Kuala Lumpur daripada Sayid Mashor. Akibat daripada kejayaan ini Sultan Selangor telah menganugerahkan gelaran dan persalinan kepada semua pahlawan Pahang dan Datuk Bahaman digelari sebagai Orang Kaya Indera Pahlawan dan mendapat kedudukan sama seperti pembesar Selangor.

Adalah tidak lengkap sekiranya membicarakan mengenai strategi dan taktik peperangan tanpa membincangkan mengenai dua orang tokoh ilmu strategis yang dianggap paling agung dalam sejarah masyarakat Melayu. Tokoh ini ialah Tun Perak dan Hang Nadim pada zaman Kesultanan Melayu Melaka. Tun Perak seperti yang diketahui, adalah salah seorang daripada Bendahara Kesultanan Melayu Melaka yang hidup pada kurun ke 16 iaitu kira-kira pada tahun 1448 hingga 1498. Beliau telah berkhidmat dengan cemerlang dalam pemerintahan 4 orang Sultan Melaka iaitu Sultan Muzaffar Shah, sultan Mansur Shah, Sultan Alauddin Riayat Shah dan sehingga ke awal pemerintahan Sultan Melaka yang terakhir iaitu Sultan Mahmud Shah. Di bawah pimpinan Tun Perak, Kerajaan Melaka menjadi sebuah kerajaan Melayu yang maju dan kuat. Sejak sebelum beliau memegang Jawatan Bendahara lagi, Tun Perak telah menunjukkan bakat dalam ilmu strategi terutama strategi jangka panjang. Semasa beliau menjadi Penghulu di Kelang, Siam telah menghantar tenteranya untuk menyerang Melaka kerana Sultan Muzaffar Shah tidak mahu tunduk kepada Ayuthia.

Sultan telah mengumpulkan semua pembesar dan orang-orang mereka termasuklah Tun Perak di Melaka. Seperti mana kebiasaannya orang Melayu pergi berperang, mereka tidak akan membawa bersama keluarga mereka, namun di sinilah terletaknya kebijaksanaan Tun Perak dalam mengatur strategi. Beliau telah mengarahkan agar anak dan isteri semua pengikutnya dari Kelang dibawa bersama untuk pergi berperang. Apabila beliau ditanya oleh Sultan mengenai tindakan tersebut beliau menjawab, tujuan beliau berbuat demikian ialah untuk menaikkan semangat para pahlawan Kelang. Hal ini kerana mereka akan berjuang lebih bersungguh-sungguh jika mahu mempertahankan anak dan isteri mereka melainkan hanya berperang untuk Sultan sahaja. Nyata di sini bahawa Tun Perak pandai membaca psikologi tentera di bawah pimpinannya dan psikologi manusia secara umumnya.

Tindakan Tun Perak untuk mengikat tali kekeluargaan dengan musuh politiknya iaitu Bendahara Seri Nara Diraja melalui adiknya Tun Kudu, dianggap sebagai strategi yang bijak bagi menjaga kepentingannya dan mendapat sokongan daripada pengikut Seri Nara Diraja. Dalam serangan Siam yang ketiga, sekali lagi Tun Perak telah menunjukkan kepakaran beliau dalam strategi peperangan. Beliau telah mengarahkan Tun Umar agar menyerang perahu Siam yang cuba mendarat. Tindakan Tun Perak ini ada asasnya, beliau arif dengan perangai anak buahnya Tun Umar yang digambarkan dalam sejarah Melayu sebagai seorang yang amat berani dan gila-gila bahasa.Tindakan Tun Umar yang seolah-olah pejuang berani mati ini telah digunakan Tun Perak untuk mengucar-ngacirkan pasukan perahu perang Siam. Akibatnya beberapa buah perahu Siam telah berjaya dikaramkan oleh Tun Umar. Apabila pasukan Siam hendak menghampiri, Tun Perak kemudiannya telah mengarahkan orang-orangnya agar memasang puntung api atau obor dan ditambati pada pokok-pokok bakau dan lain-lain pokok yang ada di sepanjang pantai. Hal ini dilaksanakan bertujuan untuk mengelirukan pandangan Siam dan memberikan anggapan bahawa tentera Melaka adalah lebih banyak daripada jumlah yang sebenarnya.Tindakan ini berjaya mengaburi mata tentera Siam dan mereka telah berundur. Hasil daripada kebijaksanaan Tun Perak maka Melaka memperoleh kemenangan tanpa pertumpahan darah.

Laksamana Hang Nadim juga boleh dianggap sebagai salah seorang strategis ulung Melayu selain Tun Perak. Berbanding dengan Hang Tuah, kehebatan Hang Nadim bukanlah terletak pada kekuatan, atau kekebalan serta kerisnya, namun ianya terletak kepada kearifan beliau dalam ilmu strategis dan taktik ketenteraan serta mempunyai pemikiran yang tajam, berbanding dengan Hang Tuah yang boleh dikatakan agak bongkak, kurang bijak dan setia membabi buta. Perwatakan Hang Tuah sebenarnya boleh dikatakan sebagai perwatakan seperti samseng yang setia pada tuannya. Kehebatan Hang Nadim sebagai seorang strategis telah menyebabkan lawannya terutama orang-orang Portugis berasa gerun dan pada masa yang sama kagum dengannya.

Salah satu daripada peristiwa yang menunjukkan kebijaksanaan Hang Nadim dalam strategi ialah pada tahun 1526. Pada tahun tersebut diketahui bahawa pelabuhan Melaka di bawah pemerintahan Portugis telah mengalami kerugian teruk dan juga kebuluran sehingga hampir menyebabkan sebahagian besar penduduknya mati kelaparan. Hang Nadim telah meneliti kelemahan dan kekuatan tentera Portugis dari segenap sudut. Beliau tahu bahawa Kota Portugis di Melaka adalah mustahil untuk ditawan kerana dindingnya amat kukuh malahan amat kukuh sehinggakan ia bertahan sehingga zaman pemerintahan British dan tentera British terpaksa menggunakan bahan peletup untuk meletupkan dinding Kota tersebut. Selain itu tentera Melayu juga tidak mampu untuk membedil dinding tersebut kerana meriam Melayu kebanyakannya tidak kuat dan kecil. Portugis juga mempunyai kekuatan armada laut iaitu gallieon yang besar dan sangat tebal. Oleh kerana itu amat sukar untuk tentera Melayu menyerang armada mereka tanpa kerugian yang besar.

Namun laksamana Hang Nadim mengetahui bahawa Portugis mempunyai satu kelemahan nyata iaitu mereka tidak mempunyai bekalan makanan sendiri malahan untuk bercucuk tanam pun agak sukar kerana kawasan subur di luar Kota Melaka sering menjadi mangsa serangan hendap tentera-tentera Melayu. Oleh itu Portugis telah mengimport bekalan beras dan makanan dari luar terutamanya Burma dan Siam. Hang Nadim telah menggunakan kelemahan ini untuk menyekat bekalan makanan daripada sampai ke pada pihak Portugis di Melaka. Semua kapal dan perahu yang membawa beras akan diserang dan dirampasHang Nadim juga telah bertindak meletakkan pengikutnya di Sungai Perlis bagi menghalang kemaraan bekalan beras dari Burma dan meletakkan juga para pengikutnya di Sungai Pahang bagi menyekat bekalan beras dari Siam dan Jawa. Ternyata strategi ini berjaya dan Portugis tidak dapat berbuat apa-apa. Bagi mengatasi kekuatan armada Portugis di laut dan kehebatan kapal mereka , Laksamana Hang Nadim telah mengatur strategi agar tidak berperang secara frontal dengan Portugis. Sebaliknya beliau mengumpan tentera Portugis untuk berlayar dan masuk ke kawasan sungai yang sempit dan cetek serta di bahagian selat-selat kecil supaya kapal mereka terkandas.

Hal ini berjaya kerana kapal Portugis yang besar dan tebal itu adalah berat dan sukar untuk di kemudi dan hanya boleh bergerak jika ada angin berbanding dengan lancara Melayu yang dapat didayung dan mempunyai lantai yang lebih tinggi yang membolehkan ianya berlayar walaupun di kawasan air yang cetek. Setelah kapal ini terkandas maka pasukan Melayu akan menyerang kapal tersebut dari arah yang tidak mempunyai meriam untuk mengelak dari ditembak, contohnya di bahagian belakang kapal atau depannya. Bahagian sisi kiri dan kanan kapal biasanya dipasang dengan meriam. Banyak kapal Portugis yang berjaya di rampas dan ditenggelamkan. Portugis telah bertindak balas dengan menyerang pusat kekuasaan Melayu yang ketika itu berada di Pulau Bentan pada tahun 1523 hingga 1525 namun semuanya mengalami kegagalan. Kegagalan ini juga adalah disebabkan kecekapan Hang Nadim dalam melaksanakan taktik peperangan. Beliau telah menanam ranjau atau perangkap di dalam sungai bentan di tempat-tempat tertentu. Oleh yang demikian kapal-kapal Portugis yang besar dan berat telah tersangkut dan tidak dapat berpusing. Manakala pasukan tentera Melayu dapat menyusuri sungai tanpa halangan kerana mengetahui di mana letaknya ranjau yang dipasang. Salah satu daripada kelebihan atau trademark strategi peperangan Hang Nadim adalah beliau sering menjalankan serangan secara kecil-kecilan dan mengelakkan peperangan frontal yang besar. Hal ini kerana beliau tahu untung rugi peperangan secara frontal dengan Portugis. Laksamana Hang Nadim terus menjadi Laksamana sehingga terbentuknya Kerajaan Johor pada tahun 1530.

Bersambung…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: