“Pada suatu masa …”

Sumber: http://sejarahmelayupurba.blogspot.com

Kerajaan Bangsa Mala merentasi kerajaan Kuno Bagan yang misteri di Burma,Kerajaan-kerajaan Mala-Saimen di tengah IndoChina,Angkor,Funan dan Champa di pesisir pantai Vietnam pada hari ini.Perubahan selama beribu tahun,peperangan dan penjajahan telah melenyapkan kerajaan-kerajaan ini.Namun sifat bangsa Melayu yang halus dan sukakan kesusasteraan dan ilmu pengetahuan telah meninggalkan sejumlah prasasti-prasasti yang menandakan BANGSA MELAYU PERNAH MEMBINA KERAJAAN DI INDOCHINA.

Kedatangan kaum-kaum seperti Tai,Lao,Khmer dan Dai Viet adalah fenomena baru sebenarnya jika dikira berapa lama bangsa Mala telah menginap dan membina kerajaan di Benua Siam.Kisah penjajahan,perebutan dan peperangan menghiasi Bumi Siam membuktikan betapa bangsa-bangsa di dunia sememangnya amat berminat untuk merebut Suvarnabhumi ini yang penuh kekayaan dan kesuburan.Kedatangan bangsa-bangsa Eropah selepas itu,membuktikan lagi pernyataan ini.Filipina yang dahulunya adalah milik bangsa Melayu telah jatuh ke tangan Sepanyol.Pulau-pulau Melayu Suvarnadvipa (Indonesia) dikuasai Belanda.’Golden Chersonese’ pula dinaungi Inggeris.Portugis menjajah Timor selain pernah menduduki Melaka.Apakah maksud yang tersirat dari semua ini?

Kini jika kita lihat politik di Malaysia khususnya kita boleh lihat betapa bangsa-bangsa asing yang lebih terkemudian mendatang,sedikit demi sedikit mahu merebut Suvarnabhumi ini sekali lagi.Sebagaimana tamadun Melayu yang telah mencapai tahap legenda di Indochina,tidak mustahil bangsa misteri akan tinggal misteri di The Land of The East jika mereka masih terus bermimpi.Selepas pelbagai cabaran yang getir dengan penuh kepayahan,bangsa Melayu akhirnya kekal memegang Golden Chersonese dan Suvarnadvipa,namun pelbagai bangsa di dunia masih mengidam-ngidam bumi emas yang penuh kekayaan ini.Jika diberi peluang,pulau SEKANGKANG KERA seperti Pulau Batu Putih pun mereka sanggup bermatian mendapatkannya apatah lagi SEGENTING KERA kerana sudah terbukti pulau sekecil Singapura pun boleh menjana kekayaan berkali ganda dari seluruh Semenanjung Emas,apatah lagi jika mereka berhasil merebut Semenanjung Emas sendiri,tidak mustahil kekayaan seluruh Tanah Besar China juga boleh dijana dari sini.

Kita boleh menyelusuri sejarah tamadun Melayu seawal kerajaan Funan dan Champa (pasti ada yang lebih awal tetapi masih dalam kajian),sejarah penubuhan kerajaan mereka yang lebih awal dari sejarah Thailand,Kemboja dan Vietnam,puncak kegemilangan mereka dan kejatuhan mereka.Kita belajar dari sejarah kita di sana yang diyakini 94% orang Melayu hari ini tidak tahu langsung tentang tamadun mereka yang hilang di IndoChina dan menganggap Vietnam dimulakan oleh orang Viet,Thailand dimulakan oleh orang Tai,Burma tidak ada warisan Melayu atau Kemboja itu memang asalnya milik orang Khmer.Kita belajar bagaimana mereka membina negarakota-negarakota sebagaimana Ur,Uruk,Nineveh,Kish dan Babylon.Dan kita belajar sebab-sebab kejatuhan mereka,serta betapa ramai kaum di dunia sebenarnya mengidamkan kekayaan di The Land of The Gods.

erajaan ini sempat dikesan kerana terdapat dalam rekod-rekod Cina.Kerajaan Melayu Funan bukanlah kerajaan orang gua yang membina ran di atas pokok,tetapi kerajaan hebat yang menjalankan urusniaga sehingga ke kota-kota Rom dan Yunani berdasarkan artifak-artifak Eropah Kuno yang dijumpai di Vietnam.Rekod-rekod Cina menyebutkan kerajaan ini sebagai Funan atau B’iu-nam dan kewujudan telah disedari seawal abad pertama Masehi.Nama ini juga muncul dalam rekod-rekod China sekitar 221-280 Masehi dan hilang pada abab ke-7 Masehi.Mengikut Briggs (L.P.Briggs;1999:12) ada kemungkinan Funan hilang dari sejarah sekitar tahun 627 Masehi atau tidak lama selepas itu.Kewujudan kerajaan purba ini cuma dikesan melalui sumber-sumber Cina dan sejumlah prasasti-prasasti yang ditinggalkan.Di samping menggunakan nama-nama Sanskrit,raja-raja negeri ini juga menggelarkan diri mereka sebagai Sailenraja atau ‘Raja Gunung’.Dalam bahasa tempatan ia digelar ‘kurung bnam’ yang juga bermaksud ‘raja gunung’.Bangsa Funan dikenalpasti dari rumpun Melayu (D.G.E Hall;1979:34)

Pusat pemerintahannya terletak di bahagian hilir Sungai Mekong,namun kawasan pemerintahan meliputi selatan Vietnam,lembah tengah Mekong,lembah Chao Phraya dan Semenanjung Tanah Melayu.Walaupun kota dan pelabuhan utamanya,Oc-Eo terletak di pinggir Teluk Siam,akan tetapi ibukotanya Wijayapura (Wyadhapura) terletak lebih kurang 200 km dari laut berhampiran bukit Ba Phnom.

Dalam rekod Dinasti Chin ada menyebut tentang Funan ini:

Lebar wilayahnya 3000 li,Terdapat kota-kota bertembok,istana dan rumah di dalamnya.Lelakinya hodoh dan hitam,rambut mereka keriting.Mereka mundar-mandir tanpa pakaian dan berkaki ayam.Mereka hidup secara mudah dan tidak mencuri.Mereka menjalankan pertanian.Disamping itu mereka gemar mengukir perhiasan dan memahat.Banyak pinggan-mangkuk yang mereka gunakan untuk makan diperbuat dari perak.Cukai dibayar dengan emas,perak,mutiara dan minyak wangi.Mereka mempunyai buku,arkib dan sebagainya.Tulisan mereka menyerupai tulisan Hou.Perkahwinan dan upacara pengebumian mereka pada keseluruhannya sama dengan yang terdapat di Lin-yi. (B.R Chatterji;1964;18)

Kerajaan Funan inilah yang dapat dikesan setakat ini sebagai tamadun rumpun Melayu yang pertama (yang wujud dalam abad ke-1M hingga pertengahan abad ke-6M) atau jika hendak dikembangkan lagi atas nama Kerajaan Chenla (mengenangkan pengasasnya memang warisan Funan) sehingga 800M. Pusat pemerintahan Kerajaan Funan ialah di Vyadhapura, berhampiran dengan Phnom Penh sekarang, yang dihubungkan dengan terusan ke sebuah pelabuhan bernama Oc-eo atau Oc Eo di Vietnam sekarang, Provinsi Long Xuyen. Kerajaan Funan merangkumi sebahagian besar Indo-China sekarang hingga ke negeri-negeri di utara Semenanjung Malaysia sekarang. Dalam abad ke-3M hingga ke-6M seluruh Thailand Selatan dan negeri-negeri di utara Semenanjung Malaysia sekarang ini berada di bawah Funan.

Nama Kerajaan Funan ini sekaligus memberi makna “Melayu” itu sendiri. Perkataan Funan itu ialah ejaan bahasa Melayu moden kepada transkripsi bahasa China abad wujudnya Funan itu: Founan, Fou-nan atau Fou-Nan yang merujuk kepada Phnom bahasa “Melayu”-Mon-Khmer purba yang dalam bahasa Melayu kini ialah “Gunung”. Perkataan Phnom itu hidup sampai sekarang di Kemboja seperti pada nama ibu negaranya sekarang, Phnom Penh, itu yang jika diistilahkan dalam bahasa Melayu sekarang ialah “Gunung Banang” (“Gunung Banang” amat popular dalam puisi, nyanyian dan lagenda Melayu sehingga menjadi judul lagu asli, mungkin kerana nostalgia Melayu kepada Phnom Penh dan adanya legenda Melayu kononnya seorang adik Puteri Gunung Ledang itu namanya Puteri Gunung Banang yang diam di Gunung Banang di Johor).

Ini menunjukkan bangsa yang berkerajaan di Kemboja itu ialah bangsa Uran Phnom (Orang Gunung; perkataan uran ialah transkripsi perkataan “Melayu” purba yang sudah ada di prasasti Campa abad ke-4M dalam aksara Hindia Palawa itu) yang disebut dengan pelat/loghat Chinanya sebagai Orang Funan. Apabila keturunan raja Funan ini lari dari Kemboja dan menubuhkan kerajaan barunya di Jawa Barat, maka kerajaan baru itu dinamai Sailendra (abad ke-7M hingga ke-8M) kerana ingin juga merujuk kepada asal-usulnya, “Orang Gunung” itu, kerana perkataan Sailendra/Silindra itu pun memang bermaksud “Tuan Mulia Orang Gunung”, malah ada istilah “Sailaraja” yang bermaksud “Raja Orang Gunung”.

Berkata perihal ‘Bangsa Gunung’,satu lagi bukti tentang orang Melayu asalnya “orang Gunung” ialah daripada tulisan Manansala,seorang sarjana sejarah.Beliau mencatat satu sumber China abad ke-3M lagi yang mengandungi rujukan kepada bangsa Melayu ini sebagai Kunlun dalam ungkapan Kunlun-po yang bermaksud “kapal Orang Gunung” (po ialah sebutan China kepada perkataan “kapal” sekarang; manakala kunlun itu satu lagi lafaz China dahulu (loghat/dialek lain) kepada pnom/phnom atau “gunung” itu, selain daripada Funan itu.

Kapal Kunlun ini diperihalkan oleh sejarawan China abad ke-3M yang bernama Wan Chen yang katanya sampai kadang-kadang 200 kaki (sekitar 60m) panjang dan setinggi 20 kaki (sekitar 6m), dan boleh bermuatan sehingga 600-700 orang dan kargo seberat sehingga 900 tan (Fakta ini memang selalu dipetik oleh para pemuka teori “Budaya Gelombang” termasuk Geldern bagi membuktikan kemampuan berlakunya penghijrahan orang dahulu kala mengharungi lautan-samudera raya sekalipun, walaupun kesimpulan yang lebih pentingnya, ialah betapa tingginya tamadun rumpun Melayu sejak abad ke-3M lagi itu yang sekaligus membayangkan kehebatan ilmunya termasuklah kepemimpinan dan kepengurusannya.

Kapal sebegini masih dapat disaksikan lukisannya di dinding candi Borobudur di Yogyakarta, Jawa Tengah, iaitu hasil binaan arkitek rumpun Melayu zaman Sriwijaya dan Sailendra abad ke-8M itu, yang mendahulu Wat Angkor di Kemboja itu. Candi Borobudur ini dianggap satu daripada benda ajaib di dunia, malah segi seni binanya lebih ajaib daripada piramid/ahram itu. Catatan sarjana China terkenal abad ke-7M bernama I-Ching (yang berada di Palembang beberapa tahun untuk menyalin kitab-kitab yang diminatinya dalam bahasa Melayu purba atau kuno ini), dengan jelas merujuk bahasa dan bangsa di Palembang itu sebagai bahasa dan bangsa Kunlun juga . Pengkaji sejarah Malaysia umumnya menggunakan istilah “Melayu purba” dan “Melayu kuno” (iaitu “ancient Malay”) dengan maksud yang sama, iaitu untuk rumpun Melayu dari abad ke-2M hingga abad ke-12M (kedatangan Islam).

Lebih awal daripada sumber China ini, mengikut Manansala itu juga, dalam sebuah tulisan orang Yunani dalam abad pertama Masihi, Periplus Maris Erythraei, yang diterjemah kepada Inggeris 1912 sebagai The Periplus of the Erythraean Sea (Pelayaran ke Lautan Hindia) yang diterbitkan oleh Longman dan baru-baru ini diberi ulasan lagi oleh Casson terbitan Princeton Univ. Press 1989 ada memerihalkan kapal-kapal dari tempat yang dinamainya Chryse di Kepulauan Melayu ini dan kapal itu dinamainya Kolan-diphonta atau terjemahan harfiahnya “kapal-Kolan”, dan perkataan Kolan itu ialah versi Yunani kepada versi China, Kunlun itu.

Mengikut sumber China, raja-raja Funan yang dicatatnya ialah Fan-shih-man (205M-225M), Fan Shi-Shen 225M (mati dibunuh oleh sepupunya Fan Chan), Fan Chan (225M-330M), Fan Hsun (240/245M-250/285M), Jayavarman (iaitu Jayavarman I, yg memerintah 478M-514M), Rudravarman (yang memerintah 514-539M dan dianggap raja Funan terbesar yang terakhir). Mengikut sumber lainnya (Hindu dan prasasti), terdapat beberapa orang raja Funan lagi seperti Chandan yang memerintah sekitar 350M, Bhavavarman I sekitar 560M-570M dan Isanavarman (616-635M), walaupun sesetengah ahli sejarah mengatakan Bhavavarman I dan Isnavarman ialah raja Chenla, kerana dalam tempoh itu Chenla dan Funan dalam proses penyatuan, penyerapan atau pendominasian seperti yang dibicarakan nanti, malah Isanavarman dianggap menawan Funan pada 628. Pada kemuncaknya (kira-kira abad ke-5M), Empayar Funan merangkumi delta Mekong (sebahagian besar daripada Kampuchea dan Vietnam sekarang yang masa itu dikenali sebagai Campa dan Dai Viet), sebahagian besar Thailand sekarang (masa itu terkenal dengan Siam), Myanmar Selatan sekarang, hingga ke sebahagian besar Semenanjung Malaysia sekarang yang pada masa itu dikenali sebagai Langkasuka.

Keagungan Funan dalam bidang ilmu pengetahuan menyebabkan Dinasti China mengimport sarjana-sarjana Funan seperti Nagasen (sarjana yang diutus ke China 480M), dan Madrasena (sarjana yang diutus ke China pada 503M) untuk menjadi pensyarah kepada pegawai-pegawai dan cendekiawan China.Lihat,dahulu bangsa Melayu adalah bangsa yang pakar dalam pelbagai bidang ilmu sehingga Emperor China pun terpaksa meminjamkan sarjana Melayu untuk mendidik bijak pandai mereka.

Tidak hairanlah ketika era Srivijaya,kelayakan seorang pendeta Buddha di China tidak lengkap jika tidak mendapat pengiktirafan dari universiti-universiti Srivijaya.

Pengganti kerajaan Funan ialah sebuah negeri peufti Funan juga (Chenla namanya, tetapi mungkin sekali suku kaum yang berbeza, walaupun serumpun agaknya), malah raja Chenla yang menawan Funan itu, Bhavavarman I, ialah cucu raja Funan bernama Rudravarman yang hebat itu. Agaknya Bhavavarman I sedar akan kemungkinan besarnya yang beliau tidak mungkin menjadi raja Funan, maka beliau pun berkahwin dengan seorang putri raja Chenla (negeri di daerah Laos sekarang tetapi dewasa itu di bawah naungan Funan) yang bakal menjadi raja kerana ketiadaan putra raja, dan seterusnya beliau menjadi raja Chenla itu sehingga mampu menawan Funan pula. Dengan kemenangan itu, Bhavavarman I (walau berasal daripada keluarga raja Funan tetapi dipengaruhi oleh permaisurinya) mula menghakis kebudayaan Funan dengan men-Chenla-kan (meng-Kambuja-kan?) kerajaan Funan sehingga pada zaman raja Funan-Chenla bernama Isnavarman itu dikatakan berjaya sepenuhnya dalam penyatuan Funan dengan Chenla dengan penubuhan ibu negaranya yang baru bernama Sambor sekitar 40Km drp Angkor. Tidak hairanlah tarikh penawanan Funan oleh cucu raja Funan itu seringlah dianggap tarikh kejatuhan Funan dan bermulanya kerajaan baru, kerajaan Chenla, yang berupa tunas pembentukan kerajaan Khmer purba yang dikenali sebagai Kambujadesa dan kemudiannya dirujuki oleh ahli sejarah barat sebagai Empayar Angkor.

Seperti yang telah dijelaskan di atas, kerajaan Funan dijatuhkan oleh sebuah negeri peufti Funan yang dikenali oleh Khmer sebagai Kambuja atau Chenla mengikut catatan China pada pertengahan abad ke-6M. Kerajaan baru ini mula dikenali pada 613M apabila ibu negaranya berpindah ke Isanapura di Sambor Prei Kuk di daerah yang kini dinamai Kampong Thom di Kampuchea. Namun kerajaan baru ini tidak dapat bertahan di pesisiran pantai kerana serangan orang-orang dari Malaysia dan Indonesia sekarang yang mereka merujuknya sebagai Jva sahaja (sama seperti Arab menyebut orang Jawa atau Jawi hingga sekarang) yang tentunya dari kerajaan Sailendra/Saliendra berpusat di Jawa yang sedang menjadi kuasa besar pada kurun yang sama itu. Sebenarnya kerajaan Sailendra ini diasaskan oleh raja Funan yang lari ke Jawa apabila dikalahkan oleh raja Chenla itu.

Oleh itu kerajaan Chenla/Kambuja pengganti Funan itu mengundur ke bahagian pedalaman Kampuchea sekarang dan membina kekuatan di situ bermula daripada seorang rajanya yang bernama Jayavarman II (sebenarnya seorang raja warisan daripada raja Kambuja atau Chenla yang menjatuhkan Funan dahulu, malah Jayavarman I ialah raja Funan 478-514) yang apabila berjaya memperkuatkan takhta kerajaannya lalu mengisytiharkan dirinya sebagai deva-raja pada 802 dan memerintah sehingga 834. Jayavarman memang bermakna “pelindung yang berjaya”. Ada ahli sejarah menganggap beliaulah raja tamadun Khmer purba yang pertama yang juga sering di rujuk sebagai raja Tamadun Angkor yang pertama, atau pelandas/pembangun Tamadun Angkor.

Kemuncak kerajaan Chenla ini ialah di bawah rajanya yang bernama Jayavarman I sekitar 750M. Tidak hairanlah ahli-ahli sejarah Kampuchea menganggap kerajaan Funan itu sebagai kerajaan pra-Chenla, pra-Kambujadesa atau pra-Angkor, kerana tamadun Kampuchea bermula dengan Tamadun Funan dan berkemuncakkan dengan Tamadun Kambuja yang berpusat di Angkor yang terkenal dengan binaan Wat/Vat Angkor pada abad ke-12M yang terkenal sebagai satu daripada benda ajaib dunia, walaupun secara rasminya nama Kambujadesa ini mungkin sekali bermula pada pertengahan abad ke-10M sahaja, iaitu zaman Raja Khmer purba yang bernama Rajendravarman seperti yang diterangkan sebelum ini. Namun sesetengah ahli sejarah mengatakan nama Kambujadesa atau Kambuja (dengan ejaan Rumi Melayu-nya mulai abad ke-20M sebagai Kemboja kerana masalah perubahan ejaan dari yang asal kepada Jawi dan ke Rumi) itu dipakai antara 9M hingga 13M. Jelaslah Kambujadesa (atau Kambuja sahaja, yang mengikut ejaan Rumi Melayu-nya, Kemboja, dan ejaan yang dipengaruhi oleh Perancis atau Inggeris ialah seperti Kamboja, Cambodia, Cambodge dan kini Kampuchea) memang sukar dipisahkan dengan Funan dan kerajaan rumpun Melayu purba.

Tamadun Funan dengan tamadun Angkor memang akrab sehingga seni bina Angkor dengan Funan memang sukar dibezakan seperti yang dipaparkan dalam buku Briggs (1951/1999). Ini menimbulkan persoalan tentang pengiktirafan ahli sejarah yang mengiktiraf tamadun Funan sebagai tamadun rumpun Melayu terawal tetapi tidak pula mengaitkannya dengan tamadun-tamadun Mon-Khmer purba selepas itu (Kambujadesa dan Angkor), mungkin semata-mata kerana bahasa Mon-Khmer dikatakan serumpun dengan Orang Asli Malaysia seperti Sakai itu, iaitu bahasa Austranesia, sedangkan bahasa Melayu dikelaskan sebagai bahasa Polinesia. Atau bagi setengah pihak, bahasa Melayu sebagai bahasa Austranesia tetapi bahasa Mon-Khmer bukan bahasa tersebut.

Jika dihitung prasasti yang dirakamkan oleh Majumdar (1953), zaman kerajaan Funan-Chenla ada meninggalkan 200 buah prasasti (batu bersurat) yang 80 daripadanya dalam bahasa Mon-Khmer purba yang dikatakan ada hubungan dengan bahasa Melayu Purba itu dan yang tertuanya bertarikh 531 Syaka/Saka/Shaka (=609M). Prasasti zaman Funan sebenar (sebelum abad ke-6M) dianggarkan oleh Muhammad Alinor (pengkaji gigih tamadun Funan di UKM) hanya sebanyak 11 buah yang juga dalam bahasa Sanskrit dan Mon-Khmer. Di antara prasasti Funan-Chenla itu ada simbol sifar yang tertua tarikhnya (awal abad ke-7M) dan sekaligus kita boleh menyimpulkan sistem angka perpuluhan yang tertua di dunia wujud pada prasasti zaman tamadun Funan-Chenla ini kalaupun bukan zaman kerajaan Funan sebenar-benarnya. Walau bagaimanapun, setakat ini, yang jelasnya bahasa pada prasasti Funan itu ialah Sanskrit dan Mon-Khmer sahaja, walaupun mengikut Sharan (1974) Funan ada bahasanya sendiri (rumpun Melayu?) yang menggunakan aksaranya sendiri (dipercaya diperkenalkan oleh Saka atau Syaka, seorang Brahmin India di Funan) yang berasaskan aksara Sanskrit itu.

Selain daripada itu Funan juga ada sistem percukaian tersendiri (termasuk impot-ekspot), dan perakaunan yang cukup mantap. Sebahagian daripada kemampuan ini ialah kerana ternyata Funan mempunyai sistem angka perpuluhannya yang tersendiri yang mengandungi angka (simbol nombor) sifar/kosong yang tertua di dunia (selewat-lewatnya pada awal abad ke-7 lagi seperti yang disebut di atas, dan besar kemungkinannya dalam abad ke-6 lagi) jauh lebih awal daripada sistem angka Muslim atau Hindu yang biasanya dikatakan tertua di dunia itu. Kajian pentadbiran Tamadun Kambujadesa mulai abad ke-7 Masehi yang dilakukan oleh Sharan (1974) itu sedikit-sebanyaknya dapat juga memberikan gambaran lebih terperincinya lagi akan pencapaian pengurusan dan pentadbiran Funan, walaupun kajiannya semuanya berasaskan prasasti Kambuja yang dalam bahasa Sanskrit sahaja. Kajian sepertinya untuk prasasti dalam bahasa Mon-Khmer purba itu nampaknya belum dilakukan hingga kini.

Sumber: TimeWriter; “Once upon a time…”, 12 Jun 2010

http://sejarahmelayupurba.blogspot.com/2010/06/upon-time.html

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: